Kes kematian tiga hari berturut-turut, kes import yang masih ketara serta kemunculan beberapa kluster baharu mendominasi senario COVID-19 dalam negara sepanjang minggu rangkuman.

Justeru, ramai yang mungkin berasa lega apabila Kerajaan Malaysia melaksanakan beberapa langkah drastik untuk mengawal penularan pandemik ini termasuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sepatutnya berakhir pada 31 Ogos lepas, kepada 31 Disember 2020.

Bermula dengan sekatan kemasukan pemegang pas jangka panjang membabitkan warga asing dari Indonesia, India dan Filipina yang diumumkan pada Selasa 1 Sept, kerajaan semalam (3 Sept) mengumumkan, rakyat dari negara yang mencatatkan kes positif COVID-19 melebihi 150,000 tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

Negara yang disenaraikan ialah Amerika Syarikat, Brazil, Perancis, United Kingdom (UK), Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Rusia dan Bangladesh. Mengikut senarai negara yang dilanda COVID-19, terdapat 23 buah negara yang merekod kes COVID-19 melebihi 150,000 kes. (Senarai penuh disiar di bahagian bawah rencana ini).

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, senarai berkenaan akan ditambah lagi untuk negara yang dianggap berisiko tinggi.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya bersiap siaga menghadapi kemungkinan pertambahan kes COVID-19 dari luar negara dalam tempoh empat bulan akan datang, ketika musim sejuk di negara berkenaan.

Beliau berkata, jangkitan COVID-19 di India, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol dan Perancis menunjukkan peningkatan seiring penurunan suhu di semua negara itu.

Malaysia mencatat tiga kes kematian, tiga hari berturut-turut iaitu pada Ahad 30 Ogos (kes 126), Isnin 31 Ogos (kes 127) dan Selasa 1 Sept (128). Ketiga-tiga kes kematian dilaporkan di Kedah dan dua daripadanya adalah dalam Kluster Tawar.

Kes import pula paling banyak dilaporkan pada Sabtu 29 Ogos iaitu 10 daripada 11 kes baharu dan Selasa, 30 Ogos, 15 daripada 17 kes baharu.

Sepanjang minggu rangkuman juga, beberapa kluster baharu dilaporkan iaitu pada Ahad 30 Ogos, Kluster MV Glen di Pelabuhan Klang, Selangor dan Kluster Telaga di Kedah; pada Isnin 31 Ogos (Kluster Bunga) di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan dan pada Selasa 1 Sept, Kluster Benteng LD di Sabah.



KES BAHARU KEMBALI DUA ANGKA

Sementara itu, sehingga pukul 12 tengahari Khamis 3 Sept, kes positif COVID-19 kembali dua angka iaitu 14 kes, berbanding enam (6) kes pada Rabu 2 Sept. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 9,374 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan, 163 kes.

Daripada 14 kes itu, empat (4) kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan dua (2) warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara. Empat (4) kes import tersebut adalah dari negara Singapura (3 kes - 2 kes di Negeri Sembilan dan 1 kes di Johor); dan Filipina (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Daripada 10 kes penularan di dalam negara, enam (6) kes melibatkan warganegara Malaysia iaitu Kedah empat (4) kes di mana tiga (3) kes daripada Kluster Tawar dan satu (1) daripada Kluster Telaga dan Sabah, dua (2) kes daripada Kluster Benteng LD.

Sementara empat (4) kes bukan warganegara, berlaku di Sabah iaitu kes daripada Kluster Benteng LD.

Seramai empat (4) kes positif pesakit COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara ini kekal 128 kes (1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).



KLUSTER BAHARU

Kluster baharu yang dilaporkan sepanjang rangkuman seperti yang dinyatakan di atas, iaitu Kluster MV Glen di Pelabuhan Klang, Selangor (tiga kes positif) dan Kluster Telaga, Kedah (tujuh kes positif); Kluster Bunga di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan (enam kes positif) dan Kluster Benteng LD di Sabah (14 kes positif).

Kluster Tawar pula muncul kluster aktif terbesar di Malaysia dengan 75 kes setakat 1 Sept 2020, dan dengan kemungkinan strain mutasi D614G.

Sementara itu, kluster terbesar sebelum ini, Kluster PUI Sivagangga yang mencatat 45 kes, dilaporkan mungkin akan tamat beberapa hari lagi kerana tiada kes baharu dilaporkan setakat ini.

Dr Noor Hisham sebelum ini menyatakan kemunculan kluster-kluster baharu ini meningkatkan nilai Rt atau R naught (R0), iaitu kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat sedikit meningkat di Malaysia.

Pada 26 Ogos 2020, Rt yang dilaporkan adalah 0.74, namun kini ianya telah meningkat sehingga 1.0

Nilai Ro (R-nought) atau Rt di Malaysia, yang merujuk kepada "kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut."

Ro tertinggi dicatat pada 22 Julai 2020 iaitu 1.37 dan paling rendah dicatat pada 4 Ogos 2020 iaitu 0.58. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Ro adalah 3.55.

Menurut Dr Noor Hisham, menurunkan nilai Ro kurang daripada 1 secara berterusan, akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.



WHO DAN SITUASI GLOBAL

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyokong penuh usaha negara yang dilanda pandemik COVID-19 untuk membuka semula ekonomi dan melonggarkan pergerakan masyarakat tetapi ia mesti dibuat dalam keadaan yang selamat.

Dalam masa yang sama, tidak ada negara yang boleh berpura-pura pandemik ini sudah berakhir.

"Realitinya koronavirus ini mudah merebak, dan boleh menyebabkan maut bagi semua peringkat umur dan kebanyakan orang masih terdedah dengan ancaman penyakit ini.

"Jika ada negara serius untuk membuka semula, mereka juga mesti serius tentang menyekat penularan penyakit ini dan menyelamatkan nyawa.

"Membuka negara tanpa kemampuan mengawal penularan penyakit ini hanya akan membawa kepada bencaca, " tegas Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam taklimat media dari Geneva, Switzerland pada 31 Ogos.

Beliau memberikan empat perkara yang perlu diambil kira untuk mengawal penularan pandemik COVID-19 iaitu pertama, menyekat perhimpunan ramai yang memberi ruang untuk COVID-19 tersebar luas seperti yang berlaku di banyak negara yang dikaitkan dengan stadium, kelab malam dan tempat beribadat.

Kedua, menguranngkan kematian dengan melindungi kumpulan yang mudah dijangkiti koronavirus termasuk warga tua, mereka yang mempunyai penyakit kritikal dan pekerja penting.

Ketiga, mematuhi langkah pencegahan termasuk penjarakan fizikal satu meter, sentiasa mencuci tangan, memakai pelitup muka dan mengamalkan etiket respiratori. Elakkan tempat tertutup, sesak dan persekitaran yang sempit.



STATISTIK GLOBAL COVID1-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah mencecah 26,467,490 (rangkuman minggu lalu 24,650,487) dengan 873,213 kematian (minggu lalu 836,049 kematian). Jumlah pesakit sembuh ialah 18,661,504 orang (minggu lalu 17,107,575 orang).

Amerika Syarikat kekal di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda wabak COVID-19 dengan 6,335,244 kes (minggu lalu 6,048,317 kes). Angka kematian 191,058 orang (minggu lalu 184,803 orang) .Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan.

Brazil di tangga kedua dengan 4,046,150 kes (minggu lalu 3,764,493 kes) dengan 124,729 kematian (minggu lalu 118,726 kematian).

India di tempat ketiga, dengan 3,933,124 kes (minggu lalu 3,392,295 kes ) dengan 68,569 kematian (minggu lalu 61,725 kematian), sementara Rusia merekod 1,009,995 kes (minggu lalu 980,405 kes) dengan 17,528 kematian (minggu lalu 16,914).

Di samping empat negara di atas, terdapat 30 buah negara mencatat lebih 100,000 kes COVID-19, seperti berikut:-

Peru 670,145 kes (29,405 kematian), Colombia 641,574 kes (20,618 kematian), Afrika Selatan 633,015 kes ( 14,563 kematian), Mexico 616,894 (66,329 kematian), Sepanyol 488,513 kes (29,234 kematian), Argentina 451,198 kes (9,361 kematian), Chile 416,501 kes (11,422 kematian), Iran 380,746 kes (21,926 kematian), United Kingdom 340,411 kes (41,527 kematian), Bangladesh 319,686 kes (4,383 kematian), Arab Saudi 318,319 kes (3,982 kematian), Perancis 300,181 (30,706 kematian), Pakistan 297,014 kes (6,328 kematian), Turki 274,943 kes (6,511 kematian), Itali 272,912 kes (35,507 kematian), Jerman 248,814 kes (9,399 kematian), Iraq 247,039 kes (7,275 kematian), Filipina 228,403 kes (3,688 kematian), Indonesia 184,268 kes (7,750 kematian), Kanada 130,493 kes (9,141 kematian), Ukraine 128,228 kes (2,710 kematian), Israel 124,455 kes (985 kematian), Qatar 119,420 kes (201 kematian), Bolivia 118,781 kes (5,288 kematian), Equador 116,360 kes (6,648 kematian) dan Khazakhstan 106,121 kes (1,588 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 38 (minggu lalu ke-35) dengan 85,120 kes (minggu lalu 84,917 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Filipina dan Indonesia menyertai senarai negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Minggu ini Filipina merekod 228,403 kes (minggu lalu 209,544 kes) dengan 3,688 kematian (minggu lalu 3,325 kematian) sementara Indonesia mencatat 184,268 kes (minggu lalu 165,887 kes) dengan 7,750 kematian (minggu lalu 7,169 kematian).

Singapura pula merekodkan 56,908 kes (minggu lalu 56,666 kes) dengan angka kematian kekal 27 seperti minggu lalu, diikuti Thailand dengan 3,427 kes (minggu lalu 3,410 kes) dan angka kematian kekal 58.

Myanmar minggu ini mengatasi Vietnam dengan 1,111 kes (6 kematian) sementara Vietnam mencatat 1,046 kes dan 35 kematian.

Kampuchea pula mencatat 274 kes berbanding 273 kes minggu lalu dan kekal tiada kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) dan Laos kekal 22 kes (minggu lalu 20 kes) dan sifar kematian.

-- BERNAMA