KUALA LUMPUR: Angka kes baharu COVID-19 sekali lagi mencatatkan peningkatan berbanding Isnin apabila sebanyak 5,403 kes dilaporkan untuk tempoh 24 jam lalu.

Jumlah kes terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia kini sebanyak 2,516,255.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar kematian merekodkan pertambahan sebanyak 58 kes berdasarkan data COVIDNOW setakat semalam.

Manakala jumlah kumulatif bagi kes kematian setakat ini pula adalah sebanyak 29,349 kes.

Jumlah kes pulih pula merekodkan angka lebih rendah daripada kes harian selepas 5,311 kes disahkan pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih berjumlah 2,425,054.


Menurut kenyataan itu lagi, Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika ini menempatkan seramai 545 pesakit dengan 270 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 5,403 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 102 kes (1.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.

“Manakala 5,301 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat lima kluster baharu dikesan pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini adalah 5,817 kluster dengan 307 daripadanya masih aktif.

“Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok.

“Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19. Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi.

“Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita,” ujarnya.