KUCHING: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) diarah melaporkan semua aktiviti sosial penduduk di kawasan mereka kepada pejabat daerah dalam usaha mengawal penularan COVID-19 di Sarawak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, keputusan ini dibuat berikutan kes yang tinggi melibatkan aktiviti sosial.  

"Semua ketua masyarakat dan ketua kaum hendaklah memantau dan melaporkan segala aktiviti majlis sosial seperti majlis perkahwinan, kematian dan sebagainya kepada pejabat daerah masing-masing.

"Pejabat daerah akan sedia membantu KMKK bagi menasihati dan mendapatkan bantuan dari agensi-agensi yang berkenaan untuk memastikan SOP yang sedia ada dipatuhi. Arahan ini berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam sidang media JPBN Sarawak di Kuching pada Selasa.

Ujarnya, penglibatan komuniti dari peringkat dasar memainkan peranan penting demi menjaga keselamatan awam dari penularan wabak COVID-19.

Pemimpin komuniti juga disaran untuk sentiasa berkongsi maklumat serta memberi nasihat yang sewajarnya kepada masyarakat terutama dalam isu pematuhan SOP, kata beliau lagi.