PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya ujian berkala COVID-19 dibuat dua minggu sekali terhadap petugas dan ahli Parlimen yang bersidang di Dewan Rakyat. 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini ujian berkenaan hanya dibuat tiga hari sebelum sesi persidangan Parlimen bermula.

Dr Noor Hisham berkata, cadangan langkah proaktif membendung penularan wabak COVID-19 itu akan dikemukakan di Parlimen dalam masa terdekat.

“KKM mencadangkan ujian berkala iaitu bukan hanya tiga hari sebelum permulaan sesi Parlimen tetapi dilakukan dua minggu sekali.


“Kami akan membentangkan cadangan itu di Parlimen dan saya telah berbincang dengan Speaker (Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun).

“Kami berharap mereka akan mempertimbangkan cadangan ini. KKM sudah memperketatkan kehadiran petugas di Parlimen iaitu mewajibkan mereka untuk menjalani ujian saringan dan jika boleh, menggunakan sesi video,” katanya pada sidang media harian KKM di Putrajaya pada Selasa.

Beliau juga menasihati semua petugas dan ahli Parlimen untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Walaupun terdapat saringan suhu, 60 hingga 70 peratus daripada pembawa jangkitan COVID-19 ialah individu yang tidak bergejala.

Situasi terkini COVID-19 di Malaysia.

“Risiko tetap ada tetapi KKM akan menjalankan penilaian risiko dari semasa ke semasa dan kami akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain untuk mengelakkan berlaku jangkitan di Parlimen," katanya.

Pada Isnin, Dr Noor Hisham berkata tujuh individu yang sepatutnya bertugas di Parlimen disahkan positif COVID-19.