KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti sebanyak 119 kes COVID-19 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 104 kes adalah jangkitan import dari luar negara, manakala 15 kes lagi adalah jangkitan dalam negara.

"Daripada jumlah 119 kes yang dikesan tersebut, 104 kes adalah VOC dan 15 kes adalah VOI.

"VOC yang dilaporkan adalah sebanyak 89 kes membabitkan varian B.1.351 (kesemua kes jangkitan
dalam negara), sembilan kes adalah varian B.1.1.7 (lima kes jangkitan import dan empat kes jangkitan dalam negara) dan enam kes varian B.1.617 (kesemuanya jangkitan import).

"Sementara itu, VOI yang dilaporkan pula adalah membabitkan 12 kes varian P.3 (kesemua kes jangkitan dalam negara) dan tiga kes adalah varian B.1.525 (kesemua kes jangkitan import)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham menjelaskan, virus COVID-19 VOC telah dikesan di setiap negeri dalam negara terutamanya bagi varian B.1.351.

"Oleh itu, besar kemungkinan sudahpun berlaku penularan lebih meluas dalam komuniti bagi sekurang-kurangnya satu jenis VOC di semua negeri di negara ini.

"Memandangkan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi, situasi ini perlu diambil serius oleh setiap individu.

"Sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ianya akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes COVID-19," ujarnya.