KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti tiga lagi kluster baharu COVID-19 pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan pada Ahad berkata kluster tersebut ialah Kluster Plaza, Kluster Jalan Kalabakan dan Kluster Jeri.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Plaza melibatkan daerah Kota Kinabalu di Sabah manakala Kluster Jalan Kalabakan pula dilaporkan di daerah Tawau di Sabah.

Selain itu, Kluster Jeri pula melibatkan Kota Tinggi, Mersing dan Muar di Johor.

Berikut perincian lanjut mengenai ketiga-tiga kluster baharu yang dikenal pasti pada Ahad (15 November 2020):


KLUSTER PLAZA

Kluster baharu ini melibatkan daerah Kota Kinabalu di negeri Sabah.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-42299) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 November 2020 dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran MARA, Kota Kinabalu.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 11 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 15 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 19 individu telah disaring, di mana:

• 12 kes dikesan positif COVID-19 (11 kes baharu)

• Tujuh individu dikesan negatif


KLUSTER JALAN KALABAKAN

Kluster baharu ini melibatkan daerah Tawau di negeri Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-31309) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 21 lagi kes positif COVID- 19.

Sehingga 15 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 22 individu telah disaring, di mana kesemua 22 kes telah dikesan positif COVID-19 (tiga kes baharu).


KLUSTER JERI

Kluster baharu ini melibatkan daerah Kota Tinggi, Mersing, dan Muar di negeri Johor. Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), Singapura pada 6 November 2020.

Saringan kontak rapat di Malaysia telah mengesan sebanyak 26 kes positif COVID-19 dan kes-kes ini telah dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

Sehingga 15 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 1,170 individu telah disaring, di mana:

• 26 kes dikesan positif COVID-19 (3 kes baharu)

• 535 individu dikesan negatif

• 609 individu masih menunggu keputusan