KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan telah mengesan sebanyak lima lagi kluster baharu penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kluster berkenaan dikenali sebagai Kluster Teduh, Kluster Menara, Kluster Keladi, Kluster Sentral, dan juga Kluster Bah Bemban.

Kluster Teduh dikesan di daerah Lahad Datu, iaitu mereka yang dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu yang mempunyai sejarah perjalanan di Semporna pada 6 Oktober, dan saringan kontak rapat mendapati 10 lagi kes positif dikesan.

Bagi Kluster Menara ia melibatkan kawasan di daerah Gombak, Petaling, Klang, Sepang, dan Hulu Langat di negeri Selangor; daerah Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di WP Kuala Lumpur; daerah Larut, Matang dan Selama di negeri Perak serta Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kluster ini dikesan positif COVID-19 pada 9 Oktober hasil saringan individu bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 32 lagi kes positif COVID-19.

BACA: COVID-19: Rekod tertinggi... 869 kes baharu, empat kes kematian

BACA: Empat kematian baharu, ikuti lima tumpuan sidang media KKM hari ini


Sementara itu, Kluster Keladi melibatkan daerah Klang di Selangor yang dikenal pasti positif COVID-19 pada 13 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Hasil ujian saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 25 lagi kes positif COVID-19.

Kluster Sentral merupakan penularan di Kepong, Cheras, Titiwangsa, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikesan positif COVID-19 16 Oktober yang turut mengesan empat lagi kes positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat.

Manakala Kluster Bah Bemban pula melibatkan daerah Dungun di Terengganu dan daerah Kota Kinabalu di Sabah.

Kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 pada 3 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu yang mengesan 11 lagi kes positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat.