KUCHING:Satu kluster baharu COVID-19 iaitu kluster Taman Putrajaya dikesan di Sarawak pada Sabtu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi sidang media harian COVID-19 di Kuching.

Menurutnya, kluster baharu itu dikesan di daerah Bintulu selepas kes indeks 733 yang disahkan positif pada 8 Oktober 2020 setelah membuat saringan di Hospital Bintulu kerana mengalami simptom sejak 1 Oktober 2020.

“Kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke Perak dan Kuala Lumpur pada 24 hingga 27 September yang lalu. Pengesanan kontak secara aktif juga telah dijalankan sebaik sahaja kes indeks disahkan positif COVID-19.

“Setakat jam 12:00 tengah hari 10 Oktober 2020, 56 kontak telah disaring dan daripada jumlah itu, empat kontak rapat disahkan positif COVID-19, dua didapati negatif pada saringan pertama dan 50 lagi masih menunggu keputusan ujian saringan,” kata Uggah.

Ujarnya lagi, setakat ini kluster sama telah merekodkan lima kes positif termasuk kes indeks.

Setakat ini, Sarawak merekodkan dua kluster aktif COVID-19 termasuk kluster Bah Arnah di Kuching yang merekodkan empat kes positif.