KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai lebih awal dengan lebih 80 peratus penduduk Wilayah Persekutuan menerima suntikan vaksin COVID-19 sepenuhnya menjelang 31 Ogos ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata,  usaha itu sedang giat dirancang melalui Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah dan penglibatan daripada beberapa klinik swasta sebagai alternatif kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada.

"Mengikut perancangan, kita menyasarkan imuniti kelompok 80 peratus (di Wilayah Persekutuan) menjelang 31 Ogos ini, ia melepasi sasaran yang diletakkan pada peringkat nasional.

"Kita menjangkakan Wilayah Persekutuan akan terlibat dengan program vaksinasi secara percuma dengan purata 30,000 dos sehari bermula 15 Jun ini," katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin di Perumahan Awam Seri Johor, Bandar Tun Razak di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Annuar Musa memberitahu, program vaksinasi itu akan diperluaskan kepada pekerja pasar borong dan harian bermula minggu depan.

"Kita sudah keluarkan arahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung program, dimana trak tertentu akan digerakkan untuk vaksinasi kepada pekerja pasar borong, pasar harian dan penjaja.

"Ini kerana walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka terus bekerja dan terdedah. Sebelum ini pasar borong sudah merekodkan beberapa ratus kes dan pasar borong tidak boleh ditutup," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai golongan gelandangan, beliau memaklumkan kesemua gelandangan di Wilayah Persekutuan telah menerima vaksin dos pertama menerusi fasa pertama.

Bagi fasa kedua katanya, mereka bagaimanapun perlu menjalani ujian saringan serta kuarantin sebelum divaksinasi.