KUALA LUMPUR: Angka harian kematian akibat jangkitan COVID-19 di negara ini terus kekal bawah 100 apabila 76 kes direkodkan semalam.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW menunjukkan, daripada jumlah itu, 14 kes membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (Brought-in-Dead atau BID).

Setakat semalam, jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 mencecah 28,138 atau kira-kira 1.2 peratus daripada keseluruhan 2,402,263 kes positif di Malaysia.

Jumlah keseluruhan kes BID pula meningkat kepada 5,680, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan korban akibat COVID-19.

Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) terus mencatat penurunan sejak awal September lalu.

Terdapat 666 kes aktif di ICU seluruh negara ketika ini, berbanding lebih 1,500 pada hujung Ogos lalu.

Ketika ini, kadar penggunaan ICU di hospital kerajaan seluruh negara ialah 61.9 peratus, namun dua negeri masih merekodkan kadar melebihi 70 peratus iaitu Perak (72.1 peratus) dan Sarawak (81.3 peratus).

Jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan turut mencatat penurunan sejak dua bulan lalu, dengan 329 kes setakat semalam berbanding lebih 900 kes pada awal Ogos lalu.

Pada masa sama, kadar penggunaan katil hospital bagi kes COVID-19 di seluruh negara ialah 66.9 peratus.