KUALA LUMPUR : Sehingga ke hari ini, 2,082 atau 18.09 peratus daripada jumlah kes positif COVID-19 yang dilaporkan di Sarawak melibatkan kawasan rumah panjang.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Selasa, jumlah itu adalah daripada 32,380 individu yang telah disaring melibatkan rumah panjang.

"Dalam ringkasan jangkitan COVID-19 melibatkan rumah panjang di Sarawak, 279 buah rumah panjang telah dikenakan arahan perintah sekatan atau lockdown.

"Sehingga 9 Mac 2021, 68 rumah panjang masih lagi dalam tempoh arahan sama," kata JPBN Sarawak.

Ujar kenyataan itu lagi, 211 rumah panjang telah diberikan pelepasan arahan sekatan setelah jangkitan COVID-19 di kawasan terlibat berada dalam keadaan terkawal.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Sarawak hari ini merekodkan satu kematian baharu akibat jangkitan COVID-19.

JBPN Sarawak memaklumkan, kes kematian ini adalah merupakan kontak kepada Kluster Buloh di Selangau.

"Kes kematian ke-89 merupakan kes positif COVID-19 Ke-10,510 melibatkan seorang wanita tempatan berumur 83 tahun yang telah dibawa ke Hospital Mukah kerana tidak sedarkan diri di rumah.

"Kes ini disahkan meninggal dunia pada 2 Mac 2021. Saringan ujian rt-PCR telah dibuat sehari sebelumnya dan telah didapati positif COVID-19.

"Kes kematian ini juga diklasifikasikan sebagai Brought In Dead (BID)," lapor JPBN Sarawak.

Dalam masa sama, kes turut dilaporkan mempunyai komorbid penyakit darah tinggi dan dislipidemia, dedah kenyataan itu lagi.

Antara lain, 163 kes baharu COVID-19 dikesan di negeri itu.

"Daerah-daerah yang melaporkan kes adalah Daerah Betong (37), Miri (25), Bintulu (23), Sibu (17), Subis (15), Kuching (12), Julau (9), Asajaya dan Kapit (6).

"Bakinya, Sarikei empat kes, Pusa (3), Samarahan (2) dan satu masing-masing di Bau, Kanowit, Tatau dan Dalat.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 11,511 kes," jelas JPBN Sarawak.