KOTA KINABALU:Lebih 2 juta rakyat Sabah yang terkesan akibat pandemik COVID-19 telah menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata bantuan itu meliputi Bantuan Sara Hidup (BSH2020), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Geran Khas Prihatin bagi perusahaan kecil dan sederhana, Program Subsidi Upah untuk majikan di Sabah dan Elaun Khas COVID-19 untuk petugas barisan hadapan daripada Kerajaan Pusat.

Manakala tambah Masidi, bantuan kerajaan negeri pula antaranya ialah Bantuan Bakul Makanan untuk penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, keluarga yang tidak boleh keluar rumah atas arahan kuarantin di rumah serta pendidikan yang tersenarai dalam e-Kasih.

"Selain itu kerajaan negeri juga telah menyalurkan bantuan kewangan 'one-off' sebanyak RM300 kepada golongan yang layak serta banyak lagi bantuan-bantuan lain yang diberikan oleh kerajaan negeri seperti pengecualian sewa kepada gerai penjaja bagi tempoh tiga bulan," katanya bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) yang bertanya tentang jumlah penerima bantuan untuk golongan yang terjejas akibat penularan COVID-19 di Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Sabah yang dilanjutkan bermula hari ini hingga 31 Disember 2020 adalah merupakan persediaan awal ke fasa pemulihan yang dijangka bermula pada tahun hadapan.

Selain itu, menurut beliau, sebanyak RM140.32 juta telah dibelanjakan bagi membantu meringankan beban rakyat di Sabah yang terkesan oleh penularan COVID-19 setakat 19 Dis lepas sejak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri.

"Peruntukan berkenaan ialah sebahagian daripada peruntukan Bantuan Prihatin COVID-19 berjumlah RM160 juta yang diluluskan oleh kerajaan GRS Oktober lepas. Selain itu, kita juga telah membelanjakan sebanyak RM14.04 juta daripada RM50 juta peruntukan kerajaan persekutuan yang disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya.