KUALA TERENGGANU: Sebanyak 595 iaitu 77.5 peratus daripada 768 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan di Terengganu membabitkan individu yang tidak pernah mengambil vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah kematian tersebut 658 kes mempunyai faktor komorbid.

Menurut Dr Kasemani, peningkatan kadar kematian juga disebabkan oleh kelewatan mendapatkan rawatan bagi pesakit yang mempunyai  komorbid berganda dan belum mendapatkan vaksinasi.

Jelasnya lagi, peratus kematian mengikut umur paling tinggi adalah dalam kalangan individu yang berusia 60 hingga 69 tahun iaitu sebanyak 25.3 peratus, diikuti individu dalam lingkungan usia 70 hingga 79 tahun (23.6 peratus) dan 50 hingga 59 tahun (17.2 peratus).

Sehingga kini, 69.2 peratus daripada jumlah populasi di Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 dan 92.6 peratus dalam kalangan populasi dewasa telah lengkap dos primer.

Manakala bagi suntikan dos penggalak pula mencatatkan seramai 31,397 individu telah disuntik dan pencapaian itu amat rendah berbanding dengan negeri-negeri lain.

Tambahnya lagi untuk meningkatkan pencapaian suntikan dos penggalak JKNT telah melaksanakan beberapa strategi iaitu meningkatkan kapasiti fasiliti swasta, mengaktifkan semula semua klinik kesihatan dan hospital terlibat sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Selain itu, pihaknya turut melaksanakan suntikan vaksin secara jangkau luar kepada anggota barisan hadapan bukan Kementerian Kesihatan Malaysia.