DUNIA
Arahan berpindah dikeluarkan ketika ribut kuat landa pantai timur Australia

Penduduk di kediaman tepi pantai utara Sydney diarahkan berpindah, manakala ribuan orang terputus bekalan elektrik akibat ribut kuat yang melanda pada Selasa. - Foto REUTERS
SYDNEY: Penduduk di kediaman tepi pantai utara Sydney diarahkan berpindah, manakala ribuan orang terputus bekalan elektrik akibat ribut kuat yang melanda pada Selasa.
Xinhua melaporkan ribut melanda pantai timur Australia pada pagi Selasa, membawa hujan lebat dan angin kencang yang mencetuskan amaran kecemasan di hampir seluruh kawasan pantai negeri New South Wales (NSW), termasuk Sydney.
Pihak berkuasa pada petang Selasa menasihatkan penduduk rumah pinggiran air di Pantai Tengah NSW, 65 km di utara Sydney agar berpindah berikutan ancaman ombak besar yang boleh merosakkan bangunan.
Syarikat pengedar tenaga Ausgrid memaklumkan setakat 5 petang waktu tempatan, kira-kira 21,000 pelanggan di Sydney, Pantai Tengah dan kawasan berdekatan Hunter mengalami gangguan bekalan elektrik selepas tiang elektrik tumbang akibat ribut.Dalam satu sidang media, Menteri Perkhidmatan Kecemasan NSW, Jihad Dib berkata hujan dan angin dijangka bertambah buruk sepanjang Selasa malam hingga ke Rabu.
"Keadaan dijangka semakin buruk dalam tempoh 24 jam akan datang," katanya.
Dib menggesa orang ramai agar sentiasa mengikuti amaran kecemasan terkini, mengelakkan perjalanan yang tidak perlu dan tidak memandu merentasi kawasan banjir.
Amaran cuaca buruk yang dikemas kini oleh Biro Meteorologi sebelum 5 petang menyatakan bahawa hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat berbahaya dijangka melanda Wilayah Illawarra di selatan Sydney lewat Selasa malam.
Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) NSW menasihatkan penduduk di kawasan sepanjang 80 km di antara Bandar Jervis Bay dan Batemans Bay, di selatan Sydney agar kekal berada di dalam rumah.
Timbalan Pesuruhjaya SES NSW, Debbie Platz memberitahu radio Perbadanan Penyiaran Australia, pokok tumbang dilaporkan di Sydney dan Pantai Tengah.
Lebih 1,000 sukarelawan dikerahkan oleh SES bagi membantu pasukan kecemasan dalam memberi tindak balas terhadap panggilan bantuan.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami