KOTA KINABALU: Dua lagi kluster baharu dikesan di Sabah, melibatkan daerah Penampang dan Sandakan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Kluster pertama yang dikenali sebagai Kluster Kg Nelayan Tengah, Sandakan berkait dengan penganjuran sebuah majlis doa selamat yang diadakan di kampung tersebut, pada 13 Jun lalu.

"Kes indeks adalah wanita berumur 45 tahun yang disahkan positif menerusi saringan RTK Antigen COVID-19 positif 100 peratus di Klinik Mansor pada 16 Jun lalu, setelah mengalami gejala demam dan insomnia sejak 11 Jun.

"Saringan terhadap 45 kontak rapat kemudiannya menemukan 24 lagi kes positif, manakala 21 kontak masih menunggu keputusan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kluster Jalan Bundusan pula melibatkan para pekerja di sebuah kilang pemprosesan makanan yang terletak di Penampang.

"Kes indeks merupakan pekerja lelaki berusia 43 tahun yang dikesan positif melalui ujian PCR COVID-19 pada 19 Jun,  melalui saringan bersasar di PKPD Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu. Namun beliau tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Berikutan kes itu, majikan melaksanakan saringan RTK di tempat kerja dan mendapati lapan lagi kes positif dalam kalangan kontak rapat menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini ialah sembilan kes," katanya.

Setakat ini, aktiviti pengesanan kontak rapat, saringan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi kedua-dua kluster ini.

Sabah pada Ahad mencatatkan pertambahan sebanyak 163 kes positif COVID-19, dengan dua kematian direkodkan, masing-masing dari daerah Sandakan dan Semporna.

Tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Tawau (37 kes), Kota Kinabalu (31 kes) diikuti Kunak (22 kes).