KOTA KINABALU:Dua makmal molekular masing-masing di Hospital Tawau dan Hospital Lahad Datu dijangka mula beroperasi awal Disember ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata kedua-dua makmal itu mampu menjalankan 200 ujian saringan COVID-19 sehari.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa prihatin kepada setiap keperluan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam memerangi penularan wabak COVID-19.

"Bagi menampung kapasiti ujian yang tinggi di negeri ini, KKM telah menyediakan peruntukan bagi mewujudkan dua makmal molekular tambahan di Hospital Tawau dan Hospital Lahad Datu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata JKNS turut menerima tambahan 200,000 unit kit ujian RTK-Antigen daripada KKM dan setakat ini, sebanyak 117,825 kit ujian telah diagihkan kepada hospital, pejabat kesihatan kawasan serta pejabat kesihatan daerah.

Situasi terkini COVID-19 di Malaysia.

Pada masa sama, Masidi berkata makmal ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) COVID-19 sementara telah diwujudkan di Klinik Kesihatan Kubota, Tawau bagi menampung sebahagian ujian PCR di daerah itu.

"Makmal ini dijangka boleh beroperasi sepenuhnya minggu depan," katanya, sambil menasihatkan masyarakat supaya menjalani ujian saringan dengan segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif COVID-19.

-- BERNAMA