KUALA LUMPUR:Malaysia mencatatkan sebanyak 799 jangkitan baharu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara kini ialah 30,889 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes jangkitan baharu merupakan penularan dalam tempatan.

Sebanyak tiga kematian baru juga dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian ialah sebanyak 249 kes.



Malaysia juga merekodkan 491 kes yang telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 20,248 kes yang bersamaan dengan 65.55 peratus.

"Sabah mencatatkan sebanyak 466 kes (58.3 peratus) dan negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 170 kes (21.3 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

"Keempat-empat negeri ini telah menyumbang sebanyak 636 kes (79.6 peratus) daripada jumlah harian kes positif COVID-19 secara keseluruhan.

"Kesemua negeri-negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," pada sidang media harian COVID-19.

Terdapat lapan kluster baharu juga telah dikenal pasti iaitu Kluster Rumah Merah, Kluster Telipok, Kluster Sembulan, Kluster Merpati, Kluster Astaka, Kluster Titian, Kluster Gala dan Kluster Kluster Meldrum.

Dari semua kluster ini sebanyak 521 individu masih menunggu keputusan saringan.

Dr Noor Hisham berkata meskipun terdapat pertambahan kes baharu setiap hari yang dilaporkan,
khususnya di negeri Sabah, namun terdapat juga banyak kes-kes discaj dalam jumlah yang banyak dilaporkan setiap hari.

"Oleh itu, katil yang kosong ini boleh digunakan pula untuk kes-kes baharu. Selain itu, KKM sentiasa menilai situasi semasa dan mempunyai perancangan untuk meningkatkan lagi kapasiti katil sekiranya diperlukan," katanya lagi.