KUALA LUMPUR: Model kawalan penyakit merupakan pendekatan yang diguna pakai Jabatan Kesihatan Labuan dalam memerangi sekali gus memulihkan wilayah persekutuan itu daripada penularan COVID-19.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, kejayaan model itu juga mendapat kerjasama erat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan; pemimpin tempatan; Majlis Perwakilan Penduduk serta masyarakat Labuan dalam memastikan program pencegahan berjalan lancar.

"Kunci utama kepada kejayaan ini adalah apabila kita merangka model kawalan penyakit yang baik dan disokong JPBD yang proaktif, pemimpin selain masyarakat membeli 'benda' yang kita jual ini untuk kawalan bersama selain disiplin pada tahap tertinggi.

"Dengan sokongan semua pihak maka ia terbukti program vaksinasi berada di landasan yang sangat baik yang mana kita telah mencapai tahap terbaik," katanya dalam temubual menerusi program Roger Roger LabuanFM pada Jumaat.

Mengulas mengenai kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menjadikan Labuan sebagai contoh memerangi wabak itu, Dr Ismuni berkata, pihaknya dan warga Labuan masih belum menang dalam menangani COVID-19 memandangkan wabak tersebut ada dalam kalangan komuniti.

Katanya, program pembersihan akan terus dilakukan untuk membolehkan Labuan bertukar ke Fasa Dua dan Tiga Pelan Pemulihan Negara.

"Ini bukan kejayaan lagi... kita masih dalam perjuangan untuk menghijaukan semula Labuan. Sekiranya kita mengekalkan disiplin yang tinggi dengan model yang bagus kita boleh berjaya melangkah ke fasa seterusnya," ujar beliau.

Sementara itu, Dr Ismuni menasihati penduduk Labuan supaya mengambil iktibar sambutan tanpa kawalan pada Hari Raya Aidilfitri lalu ketika mahu menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha minggu depan.

Katanya, ini adalah masa untuk warga Labuan 'berkorban' dengan hanya meraikan Aidiladha secara sederhana di rumah masing-masing sahaja.

"Besar harapan supaya kita mengambil iktibar apa yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri lalu... apabila kita membuat sambutan tanpa kawalan kita hampir lumpuh di Labuan (penularan jangkitan).

"Oleh itu untuk sambutan Hari Raya Aidiladha ini saya menyeru warga Labuan untuk berkorban dahulu ataupun tidak meraikan hari raya dengan keterlaluan, cukuplah (menyambut) di rumah," katanya.