KUALA LUMPUR: Agensi melibatkan komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan tempatan seharusnya memudahkan cabaran golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menjelaskan, mereka boleh mengatur kempen promosi, pemberian vaksin, janji temu dos kedua dan pemantauan sekiranya terdapat kesan sampingan.

Katanya, cabaran dalam pemberian vaksin dalam fasa ini lebih bersifat logistik oleh agensi memberi dan menerima.

"Penerima mungkin terdiri daripada golongan warga emas, OKU, jadi mereka mempunyai masa yang terhad dan juga accessibility (kebolehcapaian) kepada pusat-pusat tersebut.

"Contoh, tidak ada orang yang hendak bawa, tidak ada kenderaan dan sebagainya.

"Jadi untuk mengatasi masalah ini, kita sarankan, di samping agensi memberi vaksin melalui proses pra-pendaftaran, rasanya elok juga kalau kita mempunyai sistem selari dengan pendaftaran iaitu sistem walk in," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

BACA: 8 wilayah, negeri mulakan fasa kedua imunisasi 19 April ini

BACA: 
Vaksin COVID-19: 434,301 individu sudah lengkapkan dua dos suntikan

Tambahnya, golongan ini juga seharusnya diberi laluan khusus yang memudahkan mereka dari mula prosedur sehingga pemantauan sebelum  menerima dos kedua vaksin.

Ujarnya, walaupun nampak sukar tetapi kemudahan teknologi dapat mengatasi isu yang membataskan kelancaran proses berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, janji temu fasa kedua PICK akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan SMS bermula 5 April.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, dua juta daripada sembilan juta golongan sasaran untuk fasa kedua sudah mendaftar dan pihaknya yakin bilangan itu akan meningkat.

Dalam pada itu Presiden Persatuan Braille Malaysia, Datuk Mah Hassan berpendapat, kumpulan OKU memerlukan vaksin segera kerana banyak berinteraksi dengan masyarakat.

Ujarnya, bantuan ahli keluarga dan NGO diperlukan untuk memastikan golongan OKU di bawah tanggungjawab mereka dibawa untuk prosedur pemvaksinan.

"Kita perlu menyeru kepada keluarga dan penjaga kepada OKU ini, kalau mereka tinggal dalam institusi keluarga, untuk membantu membawa OKU ini mendapatkan vaksin.

"Selain itu, kita juga perlu tokoh-tokoh pemimpin masyarakat sehingga kepada wakil rakyat, memainkan peranan untuk mengenal pasti OKU dalam kawasan mereka supaya dapat OKU ini kita dampingi, kesan dan beri perlindungan melalui vaksin ini," jelasnya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan beberapa kumpulan penerima tambahan termasuk petugas barisan hadapan ekonomi akan dimasukkan dalam fasa kedua PICK.

Khairy, berkata perancangan sedemikian dibuat selepas kadar pendaftaran vaksin di seluruh negara ketika ini masih rendah.

Menurutnya, sebanyak 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua membabitkan golongan berisiko tinggi, antaranya warga emas, pesakit kronik, OKU dan individu mempunyai komorbiditi.

Pada 1 April lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, fasa kedua PICK diawalkan dua hari kepada 17 April ini.

Bagaimanapun, lapan negeri dan wilayah akan memulakan fasa kedua bermula 19 April, iaitu Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan.