KUALA LUMPUR:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof mengesahkan bahawa beliau positif COVID-19 selepas pulang dari Sabah.

Mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANI, Amiruddin berkata beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi Isnin lalu.

"Pada Selasa, saya hubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah untuk mengetahui keputusan ujian swab ke atas saya yang dilakukan di KLIA.

"Saya maklumkan nombor kad pengenalan saya kepada pegawai bertugas dan dimaklumkan keputusan COVID-19 saya adalah negatif dan diminta untuk datang dan potong gelang.

"Selepas saya potong gelang, saya teruskan aktiviti harian saya seperti biasa sebab saya tiada sebarang simptom," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Selepas disahkan negatif dan gelang kuarantin dipotong, Amiruddin berkata, pada Rabu beliau meneruskan rutin seperti biasa kerana terdapat banyak tugasan yang tertangguh.

"Pagi Rabu, saya telah ke Kompleks Seri Negeri sebab ada urusan yang perlu diselesaikan.

"Selepas itu, saya balik ke rumah dan berehat. Pada sebelah petang, isteri saya maklumkan yang Exco Kesihatan kata yang saya positif COVID-19.

"Waktu itu pihak PKD Alor Gajah sudah ada di hadapan rumah untuk membawa saya ke hospital," ujarnya.

Beliau dimaklumkan bahawa terdapat kesilapan dalam maklumat yang diberi oleh pihak PKD Alor Gajah kepadanya.

BACA: ADUN Melaka dipercayai positif COVID-19, Kompleks Seri Negeri diarah tutup

Amiruddin yang kini dimasukkan ke Hospital Besar Melaka tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak susulan kesilapan itu.

Beliau sebaliknya berharap penyaluran maklumat dapat diselaraskan dengan sempurna bagi mengelak sebarang masalah yang lebih besar.

Susulan kes positif itu, Kompleks Seri Negeri pada Khamis ditutup bagi proses nyah cemar.