KUALA LUMPUR : Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKVSTF) yang ditubuhkan untuk membendung penularan COVID-19 di Lembah Klang, telah menghantar permohonan bagi membubarkan pasukan khas berkenaan.

Menurut Pengerusinya, Datuk Dr Chong Chee Keong, permohonan itu telah dihantar kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berikutan keadaan pandemik di kawasan itu yang semakin terkawal.

Memetik laporan CodeBlue, Dr Chong menyatakan pasukan itu sebelum ini telah berjaya berjaya membantu daripada pelbagai aspek termasuk isu fasilliti kesihatan.

“GKVSTF telah berjaya membantu dari segi meningkatkan keperluan katil pesakit termasuk keperluan untuk menambah kelengkapan oksigen serta bantuan kakitangan kesihatan.

“Sistem kesihatan kini tidak terlalu tertekan berbanding situasi sebelum ini sewaktu keadaan pandemik yang kritikal.

“Justeru, pihak GKVSTF telah hantar permohonan bagi membubarkan pasukan khas tersebut kepada pihak Menteri Kesihatan,” katanya memetik laporan tersebut pada Selasa.

Mengulas lanjut, pembubaran itu juga wajar dilakukan berikutan tanggungjawab untuk menubuhkan pasukan diberikan sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini.

Katanya lagi, kesemua aset kesihatan yang dimiliki pasukan khas berkenaan juga bakal disalurkan kepada negeri yang memerlukan ekoran keadaan di Lembah Klang yang kini semakin terkawal.

Sebelum ini, GKVSTF ditubuhkan pada 8 Julai di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah untuk membantu memerangi penularan COVID-19 di Lembah Klang.

Ini termasuk bantuan kepada kakitangan kesihatan di kawasan tersebut yang mengalami tekanan sewaktu keadaan pandemik sedang memuncak.

Setakat ini, Astro AWANI masih menunggu perincian daripada pihak berwajib berhubung perkara itu.