ALOR SETAR:Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, ditutup sehingga 2 Februari susulan penularan COVID-19 di salah satu jabatan kerajaan di wisma berkenaan.

Berdasarkan maklumat yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, operasi pentadbiran di pejabat berkenaan membabitkan semua urusan akan dibuka semula pada Rabu iaitu pada 3 Februari.

Kenyataan itu turut menyebut, semua rakyat negeri Kedah diharapkan dapat mengamalkan dan patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selain bersama-sama memerangi COVID-19.

Sementara itu, beberapa pejabat di wisma berkenaan turut ditutup termasuk Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negeri Kedah (JITU) serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bermula Khamis sehingga 6 Februari depan.

Berdasarkan maklumat, penutupan pejabat JITU dibuat bagi membolehkan proses sanitasi serta kuarantin diri semua kakitangan pentadbiran jabatan berkenaan selepas seorang daripada mereka disahkan positif COVID-19.

Dalam pada itu, menerusi satu lagi hantaran di laman Facebook yang sama, LSANK turut memaklumkan bahawa operasi di pejabat itu ditutup buat sementara waktu.

Tambah kenyataan itu, orang ramai boleh menghubungi LSANK menerusi laman web [email protected] atau laman Facebook rasmi Lembaga Sumber Air Negeri Kedah bagi sebarang pertanyaan lanjut.