KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencapai kapasiti pemberian dos harian COVID-19 melebihi 100,000 sehari buat kali pertama pada Khamis.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) mengesahkan perkara itu di laman media sosial miliknya.

Melalui muat naik grafik laporan harian pemberian dos vaksin, sebanyak 58,084 dos pertama telah diberikan manakala dos kedua pula adalah 49,256.

Pada 26 Mei lalu, jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 dos pertama dan kedua ialah 2.5 juta.

Dos pertama jumlah keseluruhan mencapai lebih 1.67 juta, manakala bagi dos kedua mencecah 937,756.


Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media pada Khamis berkata bekalan vaksin negara bakal menyaksikan lonjakan ketara.

Ini kerana Malaysia dijadualkan menerima kira-kira lapan juta dos vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, pada bulan depan dan Julai.

Jelas Khairy, penambahan bekalan itu bakal mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan melonjakkan kapasiti pemberian vaksin kepada 150,000 dos sehari bermula bulan depan.