KODIANG: Tatkala golongan muda seusianya sibuk mengejar keinginan sendiri, Muhammad Faris Nabil Zaidi dari Kampung Siputeh dekat sini, sanggup berkorban selama 21 hari tidak pulang ke rumah demi rasa tanggungjawab menjaga keselamatan penduduk daripada serangan 'musuh' tidak kelihatan.

Muhammad Faris Nabil, 20, antara 23 belia yang secara sukarela menawarkan diri bertugas menjaga pos kawalan kendiri yang dilaksanakan hasil inisiatif Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Siputeh untuk mengekang penularan wabak itu bermula 7 Ogos hingga Jumaat 27 Ogos lepas.

Ketika ditemui Bernama baru-baru ini, Muhammad Faris Nabil berkata beliau ibarat sedang dalam 'rekrut tentera' untuk berhadapan musuh sepanjang mengawal lalu lintas di pos kawalan itu yang terletak di jalan utama masuk ke kampung berkenaan.

"Saya dengan sukarela ingin terlibat bertugas membuat kawalan di pos ini kerana rasa bertanggungjawab nak jaga orang kampung dan keluarga daripada musuh yang sangat berbahaya dan tidak nampak iaitu COVID-19," katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan KRT tidak membenarkannya dan rakan lain yang terlibat dalam penugasan itu pulang ke rumah, demi keselamatan ahli keluarga lain dengan menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara kepada mereka berdekatan kampung itu.

"Saya rasa sangat gembira dan bangga dengan pengorbanan saya yang tak seberapa ini untuk berkhidmat bagi memastikan keselamatan penduduk kampung terjamin daripada musuh COVID-19," katanya.

Muhammad Faris Nabil berkata ibunya merestui keinginannya untuk terlibat sama dalam penugasan tersebut dan sentiasa bertanyakan khabar mengenai keadaan dirinya ketika bertugas di pos kawalan itu.

"Mak selalu tanya sama ada sudah makan atau belum...apa yang paling bermakna apabila terlibat sama bertugas dalam pos kawalan ini ialah ia mendidik saya menjadi lebih disiplin, amanah dan lebih bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi KRT kampung berkenaan Fadilah Saad berkata kebanyakan golongan belia serta penduduk kampung aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan memberikan kerjasama sepenuhnya serta tidak mengharapkan balasan wang ringgit.

"Mereka yang terlibat dalam penugasan pos kawalan ini membuat kerja secara sukarela tanpa dibayar sebarang elaun, mereka buat kerja semata-mata niat kerana Allah untuk bersama-sama berkorban keinginan sendiri dalam membantu melawan pandemik ini, slogan 'Kita Jaga Kita' sememangnya kami praktikkan," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengambil inisiatif mewujudkan pos kawalan yang berfungsi seperti sekatan jalan raya itu kerana terdapat penularan wabak berkenaan dalam kalangan penduduk di situ sebelum ini sehingga menyebabkan kes kematian.

Fadilah yang juga penyelaras pos kawalan itu berkata pihaknya memohon kebenaran pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuka pos kawalan berkenaan.

"Pihak polis membenarkan kami mengadakan sekatan jalan melalui pos kawalan ini dan menyokong penuh usaha ini, maka kami perlulah mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) dalam usaha menyekat penularan COVID-19," katanya.

Beliau berkata pos kawalan itu beroperasi sehingga 12 tengah malam dengan tiga orang akan bertugas setiap empat jam, di samping melakukan rondaan sekitar kawasan kampung setiap dua jam.

Katanya orang luar tidak dibenarkan sebarangan keluar masuk ke kampung berkenaan tanpa urusan penting manakala urusan penghantaran barangan kepada penduduk hanya dibenarkan setakat pos kawalan itu dalam usaha 'memerdekakan' penduduk kampung daripada COVID-19.

"Jika perlu bayar caj penghantaran, sesiapa yang bertugas di pos kawalan ini akan dahulukan duit mereka yang kemudiannya pihak KRT akan menggantinya menggunakan duit tabung, hasil sumbangan orang ramai dan wakil rakyat.

"Bungkusan barangan penduduk yang diterima ini akan disanitasi sebelum kami hantar ke rumah penduduk," katanya sambil menambah setiap kali petugas yang tamat syif di pos kawalan ini juga akan disanitasi sebelum pulang ke rumah sewa mereka sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.

-- BERNAMA