KUALA LUMPUR: Peningkatan kes baharu COVID-19 di beberapa negeri mungkin berkait rapat dengan aspek disiplin kendiri.

Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin berpendapat, selain vaksin, aspek ini perlu diberi perhatian khusus oleh pihak berkuasa dalam pada negara menuju ke fasa endemik.

"Di beberapa negeri, terdapat peningkatan kes dan hal ini mungkin juga kerana imuniti kelompok belum dapat dicapai.

"Garis panduan WHO menyebut untuk mewujudkan imuniti kelompok, tidak cukup dengan 50 peratus penduduk divaksin, sebaliknya jumlah vaksinasi perlu cecah sekurang-kurangnya 80 peratus.

"Tetapi kita boleh lihat, walaupun kes baharu bertambah, tetapi jangkitan di kategori 1 atau 2, manakala kategori 4 dan 5 sudah semakin menurun. Ini membuktikan vaksin berjaya dalam mengurangkan severity (tahap teruk)  jangkitan.

"Tetapi orang ramai perlu prihatin juga dengan disiplin kendiri berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Vaksin sahaja tidak cukup, kena ada tindakan susulan iaitu patuh pada SOP.

"Kerajaan juga kena fikirkan hal ini, perlu ada tindakan tegas atau langkah untuk memastikan orang ramai tidak ambil mudah," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.

Beliau juga melihat langkah kerajaan mempermudahkan SOP sebagai satu perkembangan positif, namun melihat terdapatnya keperluan lebih banyak kajian dijalankan bagi membolehkan negara memasuki fasa endemik dengan lebih teratur.

"Kita perlu perbanyakkan kajian berkaitan SOP dan penilaian risiko. Contoh seperti rentas negeri, jika dibenarkan, bagaimana SOP yang sesuai dan mudah difahami serta dilaksanakan, faktor risiko pula bagaimana. Semua ini perlu difikirkan.

"Sekarang kita tidak banyak maklumat tentang fasa endemik, jadi kerajaan perlu berbuat sesuatu.

"Perkara seperti pembangunan vaksin tempatan dan mengenal pasti faktor risiko di tempat kerja, ini memerlukan kajian menyeluruh agar peralihan fasa lebih tersusun," ujarnya.


COVID-19 | Lembah Klang berjaya catat pengurangan kadar jangkitan