KUALA LUMPUR: Unit suntikan bergerak perlu diperbanyakkan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan dos vaksin COVID-19.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, unit suntikan bergerak hanya memerlukan lima individu dalam satu pasukan.

"Ini memerlukan satu atau dua doktor, dua jururawat dan seorang penulis rekod serta mereka boleh suntik bukan sahaja dalam bas besar tetapi dalam rumah.

"Apa yang penting, pengambil data hanya perlu mengambil gambar kad pengenalan dengan telefon bimbit untuk dimasukkan ke dalam data nasional.

"Menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk suntik semua penduduk Malaysia secara percuma dan proses suntikan perlu dipermudahkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu turut mencadangkan agar kerajaan membina bangunan kuarantin sementara atau mengambil alih dewan-dewan milik swasta bagi menempatkan pesakit COVID-19 yang sedang meningkat.

"Apabila jumlah kes baharu terlalu besar seperti sekarang, cuma sebilangan sahaja yang boleh dirawat di hospital manakala beribu yang lain terpaksa dikuarantin di rumah sendiri.

"Di rumah rawatan tidak dapat diberi dan keluarga tidak boleh berbuat apa-apa malah satu daripada kesan COVID-19 ialah pesakit sukar bernafas dan oksigen diperlukan namun tiada oksigen di rumah," jelasnya.

"Walaupun jumlah kes baharu tiap hari mencecah belasan ribu, seberapa yang boleh perlu mereka dimasukkan dalam hospital dan untuk ini Kerajaan boleh membina bangunan kuarantin sementara atau mengambil alih dewan-dewan milik swasta," ujarnya.

Tambah Dr Mahathir, kelengkapan pusat ini terhad kepada katil biasa manakala staf terhad kepada beberapa orang doktor dan jururawat.

"Di fasiliti seperti ini, oksigen penting jadi tugas doktor terhad kepada memberi oksigen apabila pesakit sesak nafas dan pesakit yang pulih dalam masa dua tiga hari boleh discaj.

"Dengan cara pusat-pusat kuarantin seperti ini, mereka yang positif COVID-19 boleh dapat rawatan asas yang mencukupi," jelas beliau.