PUTRAJAYA: Lonjakan kes COVID-19 yang berlaku daripada kluster keagamaan adalah berikutan pergerakan orang ramai pada sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi pertambahan 40 kluster keagamaan yang dilaporkan semalam.

“Daripada 40 kluster keagamaan yang dilaporkan, 19 kluster di Johor, Selangor 13 dan lapan kluster di negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan serta Kelantan.

“Peningkatan kes tersebut adalah berdasarkan kes jangkitan yang berlaku sepanjang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya ketika sidang media Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada Selasa.

[TERKINI] Sidang media Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) | 25 Mei 2021

Jelas Dr Adham, sekiranya orang ramai mampu mengurangkan mobilisasi maka ia mampu mengurangkan kadar kebolehjangkitan dan membendung wabak COVID-19.

Sementara itu, Malaysia merekodkan jumlah kes positif  tertinggi hari ini dengan sebanyak 7,289 kes baharu COVID-19 yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 525,889 kes.