KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd sedia memberikan tambahan dua juta dos vaksin COVID-19 seperti yang diminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad, Datuk Zulkarnain Eusop menjelaskan, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan dan bekalan yang diminta akan dapat dipenuhi sebelum akhir bulan ini.

"Kita bersedia memberi tambahan seperti yang kita buat tawaran kepada kerajaan untuk lebihan sebanyak dua juta dos lagi.

"Kita menunggu arahan seterusnya dari pihak kerajaan. Sekiranya pihak kerajaan ingin mendapatkan bekalan ini, kita akan memberi kerjasama dan terus membekalkan kepada pihak kerajaan sebelum akhir Julai. 

"Sekiranya ada pihak pembekal tidak dapat hantar atau terlewat, kita sedia bantu kerajaan," katanya dalam satu sidang media secara maya pada Rabu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan membeli vaksin tambahan sebanyak dua juta dos untuk diagihkan khusus kepada Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bermula hujung bulan ini.

Tambah Zulkarnain, sehingga 14 Julai 2021, Pharmaniaga Bhd menyediakan 5.2 juta dos vaksin fill and finish (isi siap) dan daripada jumlah itu 3.6 juta telah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Dalam masa sama, beliau yakin Pharmaniaga akan dapat membekalkan sepenuhnya 12 juta dos vaksin kepada kerajaan pada bulan ini.

Malah Pharmaniaga akan turut membekalkan vaksin kepada pihak kerajaan negeri dan syarikat swasta selepas selesai pemberian 12 juta dos berkenaan kepada kerajaan.

Bagaimanapun, harga vaksin yang dikenakan kepada pihak swasta masih lagi dalam perbincangan. 

"Pertamanya pihak swasta membeli vaksin itu daripada pihak Pharmaniaga dengan harga yang masih lagi kita bincang.

"Kedua, administer vaccination program merupakan kos agak banyak seperti pihak swasta perlu bekalkan doktor, jururawat, PPE dan mempunyai jaringan keselamatan untuk menyelesaikan sisa-sia setelah pemvaksinanan dibuat.

"Malah, pihak swasta juga perlu membuat tempat pemantauan dan semua ini telah diajukan kepada SOP kerajaan dan mereka perlu mengadakannya," ujarnya.