KUALA LUMPUR:Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Triang 3, Bera, Pahang bermula 18 Februari hingga 3 Mac ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di lokaliti tersebut berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes COVID-19.

Ismail Sabri menjelaskan KKM mengesahkan sebanyak sembilan kes positif telah dilaporkan dan sehingga 16 Februari, seramai 79 kontak rapat telah dikenal pasti tinggal di lokaliti ini.

"Pelaksanaan PKPD ini akan melibatkan Perumahan Kelapa Sawit dan Taman Lamanda Permai di Felda Triang 3 yang merangkumi 1,356 orang penduduk.

"KKM akan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam kenyataan itu juga Ismail Sabri memaklumkan seramai  594 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 569 dikompaun manakala 25 lagi individu direman.

Beliau menjelaskan, Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan pada 16 Feb telah menangkap lima orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan merampas tiga buah kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan tiga buah bot/kapal di perairan negara dan sebuah kenderaan darat melalui dua aktiviti penglihatan," katanya lagi.

Sebanyak 539 Sekatan Jalan Raya (SJR) dijalankan pada 16 Feb.