KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan strategi terbaik dalam proses membawa negara keluar dari krisis pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, menurut penganalisis politik dan media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Sara Chinnasamy, biarpun PPN dilihat meletakkan Malaysia setanding negara maju, kejayaannya terletak pada aspek pelaksanaan dan kefahaman ahli politik, serta sokongan tidak berbelah bahagi rakyat.

"Jika kita lihat PPN meletakkan parameter dan fasa-fasa tertentu dan ia strategi yang baik untuk menamatkan pandemik.

"Dibandingkan dengan negara-negara lain khususnya di Asia Tenggara, kita lebih ke depan kerana adanya pelan seumpama ini, setanding dengan negara-negara maju seperti Kanada dan Amerika Syarikat.

"Tetapi apapun, hasilnya tetap akan bergantung kepada pelaksanaannya. Saya lihat komitmen ahli politik masih belum berada di tahap maksimum.

"Template yang disediakan Menteri Kewangan sebenarnya cukup lengkap untuk kita menamatkan pandemik. Tetapi kekurangan masih ada di peringkat kefahaman dan kerjasama.

"Masih ada yang tidak faham tentang fasa-fasa pelaksanaan, malah program vaksinasi juga di sesetengah tempat, masih kurang capaian kerana wakil rakyat tidak terlibat dalam kempen," katanya dalam satu temu ramah khas bersama media secara maya, baru-baru ini.

Tambahnya, peranan wakil rakyat sangat penting dan perlu menyeluruh jika PPN mahu dijayakan.

"Wakil rakyat kena turun padang, lagi bagus kalau ada task force di setiap kawasan. Ini memudahkan mereka untuk kenal pasti rakyat yang memerlukan bantuan tetapi terpinggir.

"Penyelarasan bantuan perlu dijalankan dengan sistematik, termasuklah dalam kempen vaksinasi sebab kadang-kadang, ada rakyat yang tidak dapat maklumat atau tidak mahir dengan penggunaan teknologi, mereka ketinggalan.

"Kalau kita boleh selaras semua jenis bantuan dan inisatif dengan berkesan, PPN boleh berjaya dan pandemik boleh ditamatkan," ujarnya.

Sara juga melihat kerajaan sememangnya serius dalam usaha menangani pandemik, yang terbukti menerusi inisiatif lapan pakej bantuan setakat ini, di samping pecutan program vaksinasi yang hampir menyamai negara maju seperti Kanada dan Amerika Syarikat.

Strategi PPN yang diumumkan kerajaan merangkumi empat fasa dan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.