Kerajaan akan melaksanakan proses nyah cemar di seluruh negara bermula Isnin ini di kawasan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi dan juga secara rumah ke rumah terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, proses nyah cemar itu akan diselaraskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Kita telah bersetuju kalau boleh proses nyah cemar itu dijalankan serentak di seluruh negara.

"Bermakna PBT di daerah masing-masing perlu laksana di kawasan masing-masing termasuk di jabatan kerajaan tetapi keutamaan di tempat-tempat awam kemudian barulah di kawasan perumahan," katanya dalam sidang media pada Sabtu.

Selain itu katanya keutamaan melaksana proses nyah cemar ketika ini turut diberikan di dua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan proses nyah cemar di 11 lokasi di ibu negara sejak 23 Mac lalu.