KUALA LUMPUR: Pulau Pinang yakin akan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu depan apabila 10 peratus penduduknya lengkap dua dos vaksin COVID-19.

Ketua Menterinya, Chow Koon Yeow berkata, pihaknya menyasarkan negeri Pulau Mutiara itu memasuki Fasa 2 pada Rabu atau Khamis depan.

Katanya, Pulau Pinang dijangka menerima 591,523 dos vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada bulan ini dan Ogos nanti.

"Kerajaan Persekutuan menetapkan 10 peratus populasi orang dewasa sebagai nilai ambang yang harus dicapai sebelum setiap negeri dapat berpindah ke fasa kedua," katanya di laman media sosial Facebook.

Beliau berkata demikian kepada wakil 11 orginasasi perdagangan dalam perjumpaan secara maya dianjutkan Persekutan Pengilang Malaysia Pulau Pinang (FMM Penang) mengenai status vaksinasi di Pulau Pinang, pada Sabtu.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan lima negeri akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 5 Julai depan.

Lima negeri tersebut adalah Perlis, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Peralihan kelima-lima negeri itu ke fasa seterusnya adalah kerana negeri-negeri terbabit berjaya mencapai tiga indikator nilai ambang yang ditentukan iaitu - kes harian COVID-19 bawah 4,000, peningkatan kapasiti unit rawatan rapi (ICU), serta liputan vaksinasi dua dos meliputi 10 peratus daripada keseluruhan populasi.

Sementara itu, Chow berkata, objektif seterusnya adalah Pulau Pinang mahu melihat kumpulan umur 60 tahun ke atas selesai proses vaksinasi secepat mungkin pada bulan ini.

Jelasnya, Pulau Pinang dijanjikan menerima bekalan vaksin yang besar bulan ini dan bagi tempoh dua bulan akan datang akan menjadi kritikal.