PULAU REDANG: Pulau Redang yang sinonim sebagai pulau 'wajib kunjung' jika berkunjung ke Terengganu menagih kehadiran pengunjung.

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, pulau peranginan yang terkenal di mata dunia itu tidak pernah lekang dengan kehadiran pelancong baik dari dalam dan luar negara.

Namun kini kerancakkan aktiviti dan kemeriahan Kampung Baru, Pulau Redang itu telah dirampas namun penghuni pulau berkenaan setia menunggu kehadiran pelancong jika sektor pelancongan dibenarkan beroperasi kelak.

Situasi itu begitu asing bagi penduduk tempatan yang rata-rata bekerja sebagai pemandu bot, pemandu pelancong, pekerja resort, peniaga dan pelbagai lagi pekerjaan dalam salah satu sektor utama pulau itu.

Menurut pekerja resort, Suhaili Mohamad selepas tempatnya bekerja ditutup dia terpaksa turun kelaut untuk mencari hasil tangkapan bagi menyara keluarga.

Meskipun rindu untuk melakukan rutin harian di dalam sektor pelancongan, namun mereka terpaksa menggunakan kemahiran yang ada bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Sementara itu seorang nelayan, Raja Anuar Raja Kechik berkata, harapan untuk melihat aktiviti pelancongan kembali meriah pada tahun ini juga semakin tipis apabila mengenang musim tengkujuh yang akan menjengah tidak lama lagi.

"Kalau boleh kita mahu pulau ini dibuka untuk pelancongan sama ada tahun ini atau tahun depan.

"Tentulah kami mahu tahun ini tetapi bulan 8 dan bulan 9 ni sudah kena tutup kerana musim tengkujuh," katanya.

Terdahulu lebih 1,000 penduduk termasuk pemain industri pelancongan di Pulau Redang mula menerima suntikan vaksin COVID-19 melalui program 'outreach' vaksinisasi.

BACA: Vaksin COVID-19: 1,000 penduduk Pulau Redang dijangka terima suntikan Julai ini

Program imunisasi itu juga memberi kelegaan dan sinar baharu buat pemain industri pelancongan untuk kembali beroperasi.

Selain itu, program itu dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk berdepan dengan pelancong sekaligus merancakkan kembali ekonomi mereka yang terjejas teruk.