KUALA LUMPUR:Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu bermula 3 hingga 16 November ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu akan melibatkan seramai 1,820 orang tahanan dan 114 orang kakitangan pusat tahanan tersebut.

Katanya, tindakan itu bagi menyekat penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan dan kakitangan di pusat berkenaan.

"Sehingga 30 Oktober 2020, seramai 261 tahanan serta kakitangan telah disaring dan seramai 56 orang tahanan didapati positif COVID-19.

"PKPD ini akan melibatkan seramai 1,820 orang tahanan dan 114 orang kakitangan pusat tahanan tersebut.

"Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua aktiviti keluar masuk ke kawasan pusat tahanan serta lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD yang dilaksanakan di Penjara Alor Setar akan ditamatkan mulai esok.

"Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD Penjara Alor Setar bermula 5 Oktober 2020 sehingga 18 Oktober 2020 dan kemudiannya dilanjutkan lagi bermula 19 Oktober 2020 sehingga 1 November 2020.

"Saringan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga hari ini, tiada lagi kes positif COVID-19 direkodkan dalam tempoh 7 hari terkini. Jadi, kerajaan bersetuju untuk menamatkannya mulai esok," jelasnya.