PENTADBIRAN Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden memberi amaran terhadap kelesuan menangani pandemik COVID-19.

Pada masa sama, rakyat negara itu digesa untuk terus memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal walaupun beberapa sekatan sudah dilonggarkan.

Pengarah Pusat Penyakit Kawalan Penyakit Berjangkit negara itu, Dr Rochelle Walensky memaklumkan, negara itu kini dalam keadaan kritikal dalam usaha menangani pandemik itu. 

Pada masa sama beliau menjangkakan dua bulan akan datang adalah amat penting dalam usaha melandaikan lengkuk di negara itu.

"Kita terus menyaksikan tanda-tanda trajektori yang membimbangkan di negara ini dengan kes baharu dan kematian yang terus mencatatkan peningkatan.

"Kita tahu bahawa ini akan berlaku ketika varian baharu ditemui dan menular dalam komuniti, tetapi kita masih boleh mengurangkan kesannya," ujarnya. 

Jelasnya, ketika ini orang ramai sudah mula lesu untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tetapi ia tidak boleh dipandang remeh.

Terdahulu, Gabenor Texas mengumumkan penggunaan pelitup muka tidak lagi dikuatkuasakan di daerah itu dengan beberapa lagi sekatan dilonggarkan.

Begitu juga di beberapa daerah lain termasuk Mississippi dan Michigan.

Bagaimanapun, CDC tetap dengan pendirian mereka untuk terus melaksanakan sekatan tersebut sebagai langkah keselamatan.