Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini bersetuju mengambil langkah tambahan dengan memberi bantuan kewangan sebanyak RM600 setiap bulan kepada golongan pekerja bergaji tidak melebihi RM4,000 yang mengambil cuti tanpa gaji susulan penularan wabak COVID-19 bermula 1 Mac 2020.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Mesyuarat EAC di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Isnin.

Menurut Muhyiddin lagi, bantuan itu bakal memanfaatkan 33,000 pekerja yang terjejas ekoran COVID-19.

“Mesyuarat bersetuju mengambil langkah tambahan untuk perkukuhkan pakej rangsangan berikut, bantuan kewangan bagi membantu pekerja mengambil cuti tanpa gaji.

“Bantuan kewangan RM600 setiap bulan, maksimum selama enam bulan itu layak untuk pekerja notis tanpa gaji mulai 1 Mac 2020. Langkah ini melibatkan peruntukan RM120 juta kepada 33,000 pekerja yang menerima faedah ini,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, bagi kategori perniagaan yang terjejas terutamanya dari sektor pelancongan, kerajaan turut memutuskan untuk memberi 15 peratus diskaun caj elektrik bermula 1 April sehingga 30 September ini.


Manakala bagi pengguna domestik turut menerima diskaun dua peratus cas elektrik bagi tempoh sama.

“Kategori perniagaan sektor komersial, perindustrian dan pertanian domestik yang terjejas akibat COVID-19 terutama pelancongan akan mendapat diskaun 15 peratus bermula 1 April sehingga 30 September 2020.

“Kerajaan memutuskan memberi diskaun 2 peratus pengguna bagi sektor komersial, perindustrian dan pertanian domestik bermula 1 April sehingga 30 September.

“Langkah ini melibatkan peruntukan RM500 juta dan memanfaatkan 10 juta isi rumah dan pengguna komersial serta industri pertanian,” kata Muhyiddin.

Hadir sama dalam sidang media itu, Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali.