KOTA KINABALU: Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel dibenarkan bermula esok, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata kebenaran itu adalah mengikut syarat iaitu semua yang hadir telah lengkap divaksin dan kapasiti 50 peratus ruang premis.

"Bagi individu belum divaksin atas masalah kesihatan atau perubatan yang telah disahkan pegawai perubatan berdaftar, perlu menjalani ujian pramajlis menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir disaksikan penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata Sabah mengekalkan trend penurunan kes positif dengan catatan sebanyak 767 kes, iaitu penurunan marginal 17 kes berbanding semalam sebanyak 784 kes.

Beliau berkata trend penurunan kumulatif kes Sabah pada hari ini sejajar dengan jumlah daerah yang mencatatkan penurunan iaitu 15 daerah, manakala 11 daerah lain mencatatkan sedikit peningkatan dan satu daerah iaitu Kinabatangan mengekalkan catatan sebagaimana semalam.

-- BERNAMA