KUALA LUMPUR: Sabah melaporkan pertambahan 1,205 kes positif COVID-19 pada Sabtu, sekali gus menyaksikan peningkatan tiga kali ganda angka kes positif dalam masa tiga hari.

Menerusi jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, empat daerah mencatatkan kes tiga angka melibatkan Sandakan dengan 230 kes, Kota Kinabalu (213), Penampang dan Tuaran, masing-masing dengan 113 kes.

Selain itu, 527 kes daripada jumlah keseluruhan hari ini bersamaan 43.7 peratus berpunca daripada jangkitan sporadik.

‘’Statistik ini menunjukkan virus itu sudah bertapak dalam komuniti dan akan mengakibatkan kadar jangkitan yang lebih cepat dan meluas.

‘’Adalah dijangkakan jumlah kes harian akan terus melambung naik dalam tempoh terdekat. Keadaan akan memburuk sebelum ia beransur pulih,’’ katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu.

Selain itu, satu kluster baharu juga dilaporkan melibatkan Kluster Kampung Weston di Beaufort yang berpunca daripada majlis perkahwinan yang dihadiri ahli keluarga dari Kampung Lubok dan Kampung Menengah, Weston.

‘’Kes indeks merupakan seorang lelaki berumur 66 tahun disahkan positif melalui ujian Rt-PCR pada 3 Februari 2022 di Klinik Kesihatan Penampang kerana bergejala seperti demam, batuk dan sakit badan sejak 30 Januari 2022.

‘’Hasil saringan kontak rapat, tiga kontak rapat yang tinggal serumah juga dikesan positif. Pesakit pernah menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Lubok dan Kampung Menengah, Weston pada 29 dan 30 Januari lalu,’’ tambahnya.

Setakat ini, Kluster Kampung Weston mencatatkan 27 kes COVID-19 termasuk 22 kes yang dilaporkan pada hari ini dan semua pesakit telah diasingkan serta diberikan rawatan selanjutnya.

Antara lain, 1,198 kes yang dilaporkan pada Sabtu melibatkan Kategori 1 dan 2, tiga kes Kategori 3, satu kes Kategori 4 dan tiga kes dalam Kategori 5.