KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sebanyak 41 kes kematian akibat jangkitan COVID-19 pada Jumaat, angka tertinggi bagi negeri itu sejak pandemik melanda.

Daripada jumlah itu, daerah Kota Kinabalu mencatatkan angka kematian tertinggi dengan 19 kes, menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

"Sebanyak lima kes kematian dicatatkan di Sandakan; empat kes di Tuaran; Penampang dan Keningau masing-masing mencatatkan tiga kes.

"Manakala, daerah Beaufort, Lahad Datu dan Kalabakan masing-masing mencatatkan dua kes dan satu kes di Tenom," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, sebanyak 3,010 kes baharu dilaporkan pada Jumaat, membawa kepada jumlah kumulatif 137,527 kes.

Jelasnya, jumlah kes harian COVID-19 tidak menunjukkan perubahan yang ketara, walaupun terdapat penurunan sebanyak 477 kes daripada 3,487 kes yang dilaporkan pada 26 Ogos.

"Secara keseluruhan, saringan bergejala naik kepada 31.4% atau 946 kes, sementara saringan kontak rapat menyumbang 59.2% atau 1,782 kes. Saringan kluster hanya mencatatkan 37 kes.

"Hampir 37% daripada kes di Sandakan merupakan kes saringan bergejala dan lebih tinggi daripada jumlah kes saringan melalui kontak rapat.

"Di Kota Kinabalu, kes melalui saringan bergejala mencecah 44.%," katanya.

Tambah Masidi, daripada keseluruhan jumlah kes baharu semalam, sebanyak 1,206 kes atau 40% adalah kes positif yang lewat didaftar antara dua dan tiga hari.

Sebanyak 213 kes atau 7.1% adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara empat dan lima hari dan 482 kes atau 16% adalah kes daftar lewat melebihi lima hari.