KUALA LUMPUR : Tiga kluster baharu berkaitan institusi pendidikan dilaporkan tercetus di Sabah.

Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, kluster-kluster tersebut adalah Kluster Jalan Kiulu di Tuaran, Kluster Puri Seberang Keningau di Keningau dan Kluster Jalan Terusan di Lahad Datu.

"Bagi kluster institusi pendidikan yang baharu, Kluster Jalan Kiulu diisytiharkan di Tuaran, indeks kes adalah seorang pelajar SMK Tun Fuad, Kiulu yang berumur 14 tahun yang mula bergejala pada 17 Januari 2022.

"Indeks kes kemudiannya menjalani ujian RT PCR di klinik berdekatan dan didapati positif. Saringan Kontak Rapat kemudiannya dijalankan  dan mendapati seramai 14 orang lagi positif.

"Punca jangkitan dan perebakan masih lagi dalam siasatan namun pihak JKNS membuat kesimpulan awal ia berpunca dari pergaulan dalam asrama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, kesemua pelajar yang terlibat berada dalam kategori satu dan dua telah diasingkan untuk mendapat rawatan. 

Dalam pada itu, bagi Kluster Puri Seberang Keningau, seorang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau 1 terlibat.

"Pelajar mula bergejala pada 20 Januari 2022 namun hanya memaklumkan kepada pihak sekolah pada Rabu 26 Januari 2022. Pihak sekolah kemudiannya menjalankan ujian kendiri ke atas beberapa orang pelajar dan 18 pelajar didapati positif.

"Susulan insiden berkenaan, ujian pengesanan RT PCR dijalankan dan mendapati 19 pelajar positif. Kesemua pelajar tersebut adalah dalam kategori satu dan dua," tambah beliau.

Manakala, Kluster Jalan Terusan yang dikesan di Lahad Datu melibatkan seorang pelajar di SMK Terusan yang mula bergejala pada 20 Januari lalu.

Ujian saringan yang dijalankan pada 23 Januari menunjukkan pelajar berkenaan positif COVID-19.

"Saringan kontak rapat telah dijalankan dan setakat ini 10 individu dikesan positif. Mereka yang terlibat berada dalam kategori satu dan dua," ujar Masidi.

Sementara itu, Sabah secara keseluruhannya hari ini mencatatkan trend peningkatan kes harian baharu dengan 342 kes dilaporkan berbanding semalam, 335 kes.

Sebanyak 336 kes daripada jumlah itu adalah berada dalam kategori satu dan dua, dua kes dalam kategori tiga, empat kes dalam kategori empat dan tiada kes dilaporkan dalam kategori lima.

"Jangkitan baharu pada jumlah yang agak tinggi di setiap daerah agak membimbangkan dengan enam daerah mencatatkan jumlah kes baharu yang tinggi.

"Kota Kinabalu (60 kes), (Sandakan 40 kes), Kota Marudu (34 kes), Beaufort (34 kes), Tuaran (33 kes) dan Putatan (24 kes)," katanya dalam kenyataan sama.