KOTA KINABALU: Sabah mengesan satu lagi kluster COVID-19 yang melibatkan penularan jangkitan dalam institusi pendidikan, hari ini.

Jurucakap berkaitan COVID-19 negeri ini, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Debut Timbua, Ranau itu dikesan berpunca daripada seorang guru lelaki yang didapati positif COVID-19 melalui saringan kendiri.

Katanya, siasatan dan saringan lanjut yang dijalankan ke atas kontak rapat kemudian mengesan seramai 31 individu lagi positif.

"Kesemua pesakit telah diasingkan dan dirawat sewajarnya. Antara lokaliti yang terlibat dengan kluster ini ialah Asrama SMK Timbua, Kuarters SMK Timbua dan Kuarters Sekolah Menengah Agama (SMA) Mohd Ali," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Semalam, Sabah turut melaporkan satu kluster baharu membabitkan institusi pendidikan, iaitu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent di Tuaran yang dikenali sebagai Kluster Jalan Tuaran Bakut.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, Sabah mencatat peningkatan sebanyak tujuh kes hari ini berbanding semalam menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 329 kes.

Tambahnya, daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi dengan 73 kes, diikuti Tuaran (53 kes), Penampang (31 kes) dan Ranau (23 kes).

"Salah satu daerah dalam kumpulan 'Empat Serangkai' iaitu Kota Belud terkeluar daripada kumpulan tersebut apabila mencatat cuma 16 kes hari ini.

"Sebanyak 16 daerah merekodkan kes pada angka satu digit sahaja dan satu daerah iaitu Semporna tidak merekodkan sebarang kes baharu," katanya lagi.

Beliau berkata, sebanyak 15 daerah mencatat peningkatan kes harian tetapi dengan dua daerah menunjukkan peningkatan yang agak tinggi iaitu Kota Kinabalu dan Penampang.

Manakala, sebanyak 11 daerah lagi katanya mencatat penurunan kes dengan tiga daripadanya menunjukkan penurunan dua angka iaitu Tuaran, Beaufort dan Ranau.