KUALA LUMPUR: Sarawak melaporkan pertambahan 290 kes positif COVID-19 dengan Kuching menyumbang angka kes tertinggi iaitu 86 kes.

Ia diikuti Bintulu (81), Miri (36), Sibu (22), Serian (20), Samarahan (tujuh), Kapit dan Subis (enam), Julau (lima), Bukit Mabong (empat), Meradong dan Marudi (tiga), Sarikei, Selangau, Sri Aman dan Tebedu (dua) dan satu kes di Tanjung Manis, Tatau, dan Belaga.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Sabtu, satu lagi kluster baharu melibatkan Kluster Kampung Binyu di Kuching dilaporkan.

Kluster komuniti ini dikesan di majlis perkahwinan menerusi beberapa individu yang disahkan positif COVID-19 pada 30 Mac 2021 selepas menjalani saringan di fasiliti kesihatan di Kuching dan Bintulu.

“Hasil pengesanan kes secara aktif dan saringan ke atas semua kontak rapat, ahli keluarga dan kontak kasual kepada kes positif ini, tambahan 65 kes positif COVID-19 dikesan.

“Sejumlah 231 individu telah disaring, 68 kes disahkan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 163 kes didapati negatif saringan pertama dan tiada kes menunggu keputusan makmal.

“Kesemua 68 kes positif COVID-19 melibatkan kluster ini dirujuk untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan PKRC Kuching dan Hospital Bintulu,” kata kenyataan itu.

Pertambahan satu kluster ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif di Sarawak kepada 37.

Selain itu, satu kematian dilaporkan menjadikan jumlah kes kematian di negeri itu kepada 113 orang.

“Kes kematian ke-113 merupakan kes 16,593 melibatkan berusia 50 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri oleh ahli keluarga di rumah.

“Kes dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Bintulu dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2021.

“Ujian rt-PCR dijalankan pada 30 Mac 2021 dan kes didapati positif COVID-19 pada 02 April 2021,” tambah kenyataan itu.