KUALA LUMPUR: Sarawak melaporkan pertambahan 124 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif di negeri itu kepada 14,374.

Sibu menyumbang angka tertinggi dengan 38 kes diikuti Miri (20), Samarahan (16), Bintulu (14), Kuching (13), Tanjung Manis (tujuh), Kapit (lima), Julau dan Selangau (tiga) manakala satu kes masing-masing di Saratok, Sarikei, Sebauh, Serian dan Telang Usan.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin, satu lagi kluster baharu melibatkan Kluster Rajang, Tanjung Manis di Mukah dilaporkan.

“Kluster ini merupakan kluster komuniti yang dikesan di Kampung Rajang dan perebakan dilaporkan berpunca daripada satu majlis pengkebumian dan kenduri tahlil di kampung itu pada 1 sehingga 3 Mac 2021.

“Kluster ini juga melibatkan pergerakan rentas daerah yang melibatkan kes indeks dari Sarikei iaitu kes 11,463 yang dikesan menerusi saringan kontak rapat pada 4 Mac 2021.

“Setakat ini, ia melibatkan individu dan kontak dari daerah Tanjung Manis, Sarikei dan Kuching,” kata kenyataan itu.

Hasil saringan dan pengesanan kontak aktif, sejumlah 271 individu telah disaring dengan 29 kes dilaporkan positif, 159 negatif manakala 83 masih menunggu keputusan ujian makmal.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kluster aktif di negeri itu kepada 34 kluster.

Antara lain, daerah Samarahan kini dikategorikan sebagai zon merah selepas merekodkan 48 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

Manakala daerah Beluru kini kembali dikategorikan sebagai zon hijau selepas tidak merekodkan sebarang pertambahan kes positif dalam tempoh sama.