KUALA LUMPUR: Saringan COVID-19 di negara ini adalah melebihi panduan 10 peratus kes positif COVID-19 yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, melihat kepada rekod kes baharu COVID-19 harian, ia adalah dua kali ganda lebih daripada paras yang ditetapkan.

Dalam kenyataan di laman Facebook miliknya, beliau menolak dakwaan pihak tertentu mengenai ketidakcukupan saringan COVID-19, terutama ketika cuti umum Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Menjelaskan lanjut, beliau mengambil contoh pada 15 Feb lalu, di mana jumlah kes positif adalah sebanyak 2,176 sementara jumlah mereka yang disaring ialah 41,895, merangkumi ujian RT PCR dan RTK-Ag.

"Pada 15 Feb, kita melaporkan 2,176 kes positif COVID-19. Adakah benar ujian saringan yang kita lakukan tidak memadai? 

"Jumlah keseluruhan ujian RT PCR dan RTK Ag yang dijalankan adalah sebanyak 41,895, iaitu lebih daripada 10 peratus (21,760 ujian) yang ditetapkan sebagai kayu ukur.

"Oleh itu, ujian harian kita pada 15 Feb lalu iaitu sebanyak 41,895, adalah hampir dua kali ganda, dan lebih dari cukup, walaupun bilangan ujian di makmal swasta dan di luar Kementerian Kesihatan (KKM) adalah berkurangan," katanya. 



 
Sumber Facebook DGHisham

Kata Dr Noor Hisham, 23 makmal swasta hanya merangkumi 66.7 peratus daripada kapasiti maksimum ujian RT PCR kebangsaan (51,208 daripada 76,805 ujian RT PCR harian).

Oleh itu, sudah pasti banyak makmal yang tidak beroperasi secara penuh atau menerima jumlah sampel yang sedikit pada cuti hujung minggu Tahun Baharu Cina yang lalu.

KKM mengesan kuantiti dan hasil ujian COVID-19 melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA), mengenai jumlah kes positif dan negatif, sama ada dari makmal awam dan swasta.

Baru-baru ini, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, KKM wajar memberi data bagi jumlah saringan yang dibuat serta kadar positif terkini, apabila mengumumkan jumlah kes positif setiap hari.

Katanya, ini bagi mengelakkan spekulasi dan memberi gambaran yang lebih tepat mengenai situasi sebenar COVID-19 dalam negara.