KUALA LUMPUR:Satu kluster baharu berkaitan COVID-19 iaitu Kluster Mador dikesan di Sarawak pada Sabtu.

Kluster yang melibatkan daerah Meradong dan Sibu ini dikesan menerusi kes indeks 1115 yang disahkan positif COVID-19 pada 30 Disember 2020.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak, lapan kes positif dikesan dari kluster ini termasuk kes indeks.

“Kes indeks dikesan menerusi saringan individu yang tiba dari Semenanjung dan setakat ini 322 individu telah disaring.

“Daripada jumlah itu, lapan kes disahkan positif, 201 individu didapati negatif manakala 113 individu masih menunggu keputusan,” kata kenyataan itu.

Antara lain, Sarawak hari merekodkan pertambahan lima kes positif COVID-19 melibatkan empat kes di Sibu manakala satu kes di Bintulu.

Empat kes di Sibu adalah dari Kluster Mador yang dikesan sebagai kontak rapat dengan kes indeks.

“Kesemua kes ini bekerja dan menetap di tempat yang sama. Salah satu daripada kes terbaharu hari ini merupakan kakak kepada kes indeks.

“Keempat-empat kes melakukan kunjungan dan bermalam di rumah kes indeks pada 24 hingga 26 Disember 2020,” tambah kenyataan sama.

Manakala satu kes di Bintulu melibatkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang berasal dari Kedah.

Kes ini masuk ke Sarawak menerusi Lapangan Terbang Bintulu pada 31 Disember 2020 bersama ibu bapanya dan disahkan positif COVID-19 pada 1 Januari 2021 selepas menunjukkan simptom ketika menjalani kuarantin wajib di pusat kurantin.