KOTA KINABALU: Satu lagi kluster COVID-19 melibatkan majlis kenduri kahwin dikesan di Sabah pada hari ini.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, kluster yang dikenali sebagai Kluster Rich Park, di Tawau itu merekodkan 12 kes setakat ini.

"Kes indeks merupakan guru besar sekolah rendah, lelaki berusia 58 tahun, dari Taman Rich Park. Kes indeks disahkan positif COVID-19 selepas menjalani saringan bergejala di klinik swasta pada 1 April.

"Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri kahwin ahli keluarga di tiga lokasi berbeza iaitu Taman Rich Park dan Taman Ria Tawau pada 26 Mac (30 orang setiap lokasi), sebelum menghadiri majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka melibatkan kehadiran 200 orang," katanya.

Tambah beliau, lelaki itu turut menghadiri Mesyuarat Pegawai Pendidikan Daerah yang telah dihadiri sekurang-kurangnya 50 orang.

"Sehingga hari ini, 95 orang telah disaring dan 12 orang didapati positif. Aktiviti pengesanan kontak rapat kini giat dijalankan," katanya dalam kenyataan media laporan harian COVID-19.

Sementara itu, tiga lokaliti di negeri ini telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Kampung Pagalungan Ansip, Keningau; Kampung Kalindukan, Nabawan serta tiga kolej kediaman di Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae.

PKPD di ketiga-tiga lokaltii ini berkuat kuasa 5 April sehingga 18 April depan, katanya.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri itu turut memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi daerah Keningau yang dijadualkan tamat pada hari ini, dilanjutkan sehingga 18 April depan.

Sabah hari ini mencatatkan pertambahan 68 kes positif COVID-19 dengan satu kes kematian direkodkan dari daerah Tawau.