SABAK BERNAM: Kerajaan Negeri Selangor akan memperuntukkan lebih RM200 juta bagi pembelian lebih dua juta dos vaksin COVID-19 untuk kira-kira sejuta petugas barisan hadapan ekonomi negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

"Kerajaan negeri telah sediakan peruntukan RM100 juta dan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Selgate dan SelCare yang akan mengusahakan perkara itu, memerlukan paling minimum RM120 juta lagi. Maka lebih RM200 juta yang akan kita gunakan untuk proses perolehan vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di sini semalam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Ahad lepas hingga 12 Jun ini.

Amirudin berkata perbincangan lanjut akan dilakukan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bagi proses penyampaian vaksin yang diusahakan kerajaan negeri ini.

"Pengumuman semalam bermakna tiada halangan kepada kerajaan negeri untuk beli dan kita akan mengaturkan pelarasan dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) supaya data dan maklumat mereka yang telah divaksin atau tidak, untuk tujuan koordinasi," katanya.

Pada Selasa, Dr Adham mengumumkan pemberian vaksin kepada pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri yang mempunyai kes penularan COVID-19 yang tinggi boleh dilakukan secara serentak dalam fasa ketiga dan keempat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Beliau berkata kelulusan bagi pemberian secara serentak itu dapat dilakukan menerusi pengeluaran vaksin oleh syarikat pemegang pendaftaran produk (PRH) iaitu Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS).

Menurut Amirudin, kerajaan negeri menjangkakan memberi maklumat lanjut berkenaan pembelian vaksin itu pada Selasa depan bersekali dengan pakej bantuan kepada penduduk Selangor susulan sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan seluruh negara ketika ini.

Namun, rancangan kerajaan negeri bagi memberi dos vaksin berkenaan masih bergantung kepada perbincangan dan keputusan yang dibuat bersama kerajaan persekutuan dan CITF, katanya.

"Kita telah kemukakan rancangan dan cadangan kita tetapi kalau CITF kata kita perlu percepat pemberian vaksin untuk fasa kedua, kita akan bantu fasa kedua. Ini adalah berdasarkan perbincangan antara CITF dan kerajaan negeri," katanya.

-- BERNAMA