Kerajaan Selangor menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau, mengawas dan memberi pendidikan kepada rakyat berhubung jangkitan COVID-19 di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata pasukan khas itu diketuai bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan dibantu empat individu profesional yang pernah bekerjasama dengannya di kementerian berkenaan sebelum ini selain wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Amirudin berkata objektif penubuhan pasukan khas itu adalah untuk membantu JKNS supaya mereka dapat memberi lebih fokus terhadap rawatan pesakit COVID-19 di hospital terlibat.

"Pasukan khas atau 'task force' ini diwujudkan dalam satu mesyuarat khas pagi tadi bagi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat dibendung memandangkan 60 peratus daripada 117 kes yang direkodkan sehingga semalam menetap di Selangor.

"Kita akan menggunakan sistem maklumat geografi (GIS) bagi membantu menjejak kontak individu yang dijangkiti virus COVID-19 dan maklumat ini akan dikongsikan dengan pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Pengarusperdanaan Gender Negeri Selangor, di sini hari ini.

Tambah Amirudin lagi, pasukan khas itu juga akan membentangkan pelan tindakan yang bakal dilaksanakannya kepada kerajaan negeri Khamis ini, meliputi penyebaran maklumat mengenai COVID-19 terhadap orang ramai.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan penganjur program melibatkan himpunan orang ramai di Selangor supaya menyediakan cecair pembasmi kuman, penutup hidung dan mulut serta taklimat mengenai jangkitan COVID-19 berkenaan.

"Kita tidak mahu mencetuskan kegusaran awam dengan mengeluarkan arahan pembatalan semua acara melibatkan penyertaan awam tetapi kerajaan negeri akan mengeluarkan garis panduan bagi memastikan keselamatan orang ramai di majlis sedemikian," katanya.

-- BERNAMA