KUCHING: Semua aktiviti sukan dan rekreasi bagi kategori individu dan berpasukan di Sarawak dibenarkan berkuat kuasa, hari ini.

Bagaimanapun ia hanya untuk tujuan latihan, permainan dan perlawanan di luar dan tertutup (indoor) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi.

Bagaimanapun menurut Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kehadiran penonton masih tidak dibenarkan.

“Kesemua aktiviti sukan dan rekreasi bagi kategori individu dan berpasukan bagi tujuan aktiviti, latihan, permainan dan juga perlawanan sama ada indoor atau outdoor dengan mematuhi semua SOP sektor sukan.

“Syarat penting ialah tidak melibatkan kehadiran orang ramai atau penonton,” katanya.

Karim berkata demikian semasa sidang media harian COVID-19 bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Kuching pada Isnin.

Selain itu tambahnya, aktiviti yang melibatkan skala penyertaan sukan yang besar melibatkan orang ramai pada satu-satu masa juga masih tidak dibenarkan.

“Aktiviti-aktiviti massa ataupun aktiviti yang melibatkan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, triathlon, fun ride marathon dan sebagainya adalah dilarang,” tambah Karim.

Selain itu, sebarang penganjuran dan pertandingan yang ingin dianjurkan haruslah mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada kementeriannya selain memaklumkan kepada JPBN Sarawak.