VALENCIA:Keadaan taman hiburan Six Flags Magic Mountain di utara Los Angeles yang sebelum ini sepi dan suram kini bertukar 'meriah' apabila dijadikan pusat vaksinasi.

Biarpun tiada lagi bunyi riuh di roller coaster di taman hiburan berkenaan, namun di kawasan parkirnya kelihatan sibuk dengan orang ramai yang ingin mendapatkan vaksinasi COVID-19.

Pemberian suntikan vaksin tersebut dilakukan secara pandu lalu di tempat letak kereta.

Daerah Los Angeles berharap dapat memvaksinasi 4,000 orang dalam masa sehari di taman hiburan tersebut.





Sementara itu, California melaporkan 764 kes kematian akibat jangkitan COVID-19 dalam masa sehari, sekali gus menjadikannya angka korban tertinggi.

Sebelum ini, angka kematian tertinggi direkodkan ialah 708 kes iaitu pada 8 Januari tahun ini.

Dalam tempoh dua hari kebelakangan ini, California mencatatkan 1,335 kematian.

Sebelum ini, Disneyland California juga telah membuka pusat vaksinasi COVID-19, kira-kira 10 bulan susulan taman tema itu terpaksa ditutup bagi mengekang penularan wabak berkenaan.